Thursday, 22 August 2013

bagaimana kita memandang dosa


281749_4067227525178_537632375_n
Dosa. Sesuatu yang pastinya buruk dan yang tidak disukai serta dibenci Allah apabila kita lakukannya. Dosa. Sesuatu yang dicintai syaitan dan Iblis dan mahu nafsu kita turut sama mencintainya. Dosa. Bila kita dah biasa lakukannya, maka, kita akan hilang ‘rasa’ berdosa dalam diri. Dosa. Akan menompokkan kehitaman dan kegelapan dalam hati kita. Akibatnya, kebenaran tak dapat kita lihat. Yang ada, hanyalah kebatilan.
Bagaimana kita memandang dosa? 
Adakah sebagai sesuatu yang berat ibarat gunung yang akan menghempap kita?
Atau kita menganggap ianya kecil dan kita hanya menepisnya umpama lalat yang hinggap pada hidung?
“Orang yang beriman melihat dosanya umpama gunung yang menghempap, manakala ahli maksiat pula melihat dosa itu umpama lalat yang hinggap pada hidung.” (Riwayat Al-Bukhari)
Itu beza antara orang beriman dengan orang yang tidak beriman. Jadi, kita ni, kategori mana? Ya, kita semua memang pendosa sebab tak ada manusia yang tak punya dosa. Namun, orang yang beriman, dia akan cepat ‘peka’ bila dia melakukan dosa. Dia akan segera bertaubat. Dia tidak melengah-lengahkan langkah taubatnya kerana bimbang, rasa itu akan hilang. Dan dia usaha sehabis daya untuk tidak mengulang perlakuannya yang dianggap salah itu.
Tetapi, orang yang tidak beriman, dia kurang ‘peka’ terhadap dosa lantaran dirinya sudah terbiasa hidup dalam noda. Bila dosa jadi biasa, kita takkan rasa apa-apa. Kita akan terus selesa. Kadang-kadang, muncul rasa mahu bertaubat. Namun, dilengah-lengahkannya hingga hilang terus rasa itu sedang diri masih rancak bermaksiat pada-Nya. Ahli maksiat seronok dengan dunia, manakala orang beriman seronok mengejar akhirat.
251188_314927115289325_364598832_n
Sesungguhnya, Allah Maha Penyayang. Dia Maha Penerima Taubat. Tetapi, kita yang selalu mengkhianati-Nya. Kita seakan-akan mempermainkan-Nya. Kita selalu ulang dan ulang perbuatan dosa kita, meski kita sudah bertaubat berkali-kali. Jika kita masih begitu, itu petanda bahawa iman kita masih lagi lemah. Rapuh.
Adakah taubat kita sudah bersungguh hati? Adakah taubat kita disusuli dengan tindakan meninggalkan dosa? Atau kita sudah bertaubat tapi hati masih sayang dan cinta akan perbuatan dosa kerana dirasakan nikmat? Minum arak itu nikmat, mendedahkan aurat itu membuat kita rasa bebas, ber’couple’ ke hulur ke hilir tanpa ikatan itu seronok, bermain judi itu menghilangkan stress dan pelbagai alasan lagi yang kita beri dek kerana cinta dan sayang pada dosa. Apakah kita pasti, itu yang akan Allah terima? Ingatlah, maksiat dan ketaatan pada Allah takkan boleh bersatu.
Sama-sama kita muhasabah diri kita. Dosa adalah ujian. Mahu pulang ke pangkuan-Nya atau terus leka dan dilalaikan. Allah selalu memberi kita harapan. Tinggal kita saja, mahu rebut peluang atau mensia-siakannya begitu saja. Keampunan-Nya sentiasa melebihi kemurkaan-Nya. :’)
“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (Surah Az-Zumar : 53-54)
“Sesiapa yang bertaubat sebelum terbitnya matahari dari arah barat, pasti taubatnya diterima oleh Allah.” (Riwayat Ahmad dan Muslim)

No comments:

Post a Comment